Monday, 9 September 2019

Mak



Assalamualaikum,Hampir tidak pernah bercerita tentang arwah Mak. Walaupun sudah 11 tahun saya pandai menaip blog. Sejak 2008 tidak ada kisah berkaitan Mak. Mak, beliau lahir dari sebuah keluarga berbangsa Cina Taiwan. Arwah atok berasal dari Taiwan dan arwah nenek berasal dari Thailand. Mak merupakan anak bongsu dari 6 beradik. Mak diambil sebagai anak angkat sebuah keluarga Melayu di Behrang, Perak. Selepas Mak menjadi anak angkat keluarga Melayu, dengarnya Atok dan Opah dari sebelah keluarga kandung Mak bercerai dan adik-beradik Mak terpisah. Tapi ikatan adik-beradik Mak tetap utuh bila abang Mak yang berbangsa Cina mencari Mak, begitu juga kakak Mak yang tinggal di Ipoh. Hampir semua adik beradik Mak kecuali kakak yang sulung pernah saya jumpa waktu mereka datang ke rumah kami di Shah Alam. Walaupun berlainan bangsa, ikatan adik-beradik itu jelas kukuh hingga akhir hayat Mak.
Mak dibesarkan oleh arwah Opah, ketika itu umur arwah Opah sudah 40 tahun, dan arwah Atok jika ada hari ini beliau sebaya Tun Mahathir. Atok dan Opah tiada anak dan membesarkan Mak penuh kasih sayang. Mak bertemu Abah ketika bekerja di Shah Alam, bercinta.
Setelah berkahwin dan punya anak kedua, Mak terus setia menjadi suri hati Abah hingga akhir hayat. Mak dikurniakan 5 anak dari Yong, Angah, Saya, Arwah Acik dan Amin. Mak berkahwin dengan Abah ketika usia 23 tahun. Pada usia 27 tahun, Mak lahirkan saya ke dunia. Terima Mak mengandungkan, melahirkan, menyusukan, mengasuh dan mendidik Yang di dunia. Pada usia 45 tahun, ketika saya sedang berada di tingkatan 6 Atas, Mak menghembuskan nafas terakhir di PPUM. Hampir 1 tahun setengah saya tidak bersekolah dengan baik sebab menjaga Mak di hospital. Tapi itu kenangan yang tersemat di ingatan melihat Mak berjuang dengan ujian Allah. Mak begitu kuat melawan kanser hati. Hampir banyak yang saya tak ingat mengenai Mak. Pemergian Mak ketika kami semua bersedia dan redha dengan ketentuan Allah. Doktor telah menjelaskan kepada Mak dan Abah soal kanser yang Mak hidapi. Pembedahan dan kimoterapi yang Mak harung sangat mengimbas semua memori hidup. Mak dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam. Walaupun kami tinggal di Port Klang, Mak minta dikebumikan berhampiran Ibu dan Bapa angkatnya di situ. Mak seorang anak yang menjaga orang tuanya hingga akhir hayat. Arwah Atok dan Opah dijaga oleh Mak dan Abah. Pada Mak, jika kami menziarah pusara Mak, kami juga akan menziarahi pusara Atok dan Opah. Ya, sekitar tahun 1998, kami berpindah di Port Klang.

Al Fatihah Buat Mak,
Moga Allah mengurniakan syurga tertinggi buat Mak.

No comments:

Post a Comment